Sebelum kami ke rumah Tuan Guru, ada khabar angin mengatakan Tuan Guru sakit, semangat kami sedikit tergugat namun, kami meneruskan juga usaha untuk menemuramah beliau. Kami memulakan temuramah kami pada hari Jumaat iaitu selepas solat asar. Sebenarnya, kami telah bertolak dari rumah di awal subuh lagi kerana bimbang Tuan Guru tiada di rumah. Sebelum kami menjalankan sesi temuramah beliau, kami ada membuat temu janji dengan setiausaha beliau dahulu, namun demikian, setiausaha beliau terlalu sibuk dan ingin berjumpa kami pada hari Rabu. Sebenarnya, pada hari Rabu kami terpaksa balik ke Universiti kerana tiket sudah dibeli oleh kami dan untuk membeli tikrt seterusnya sudah habis. Selepas mendapat kata sepakat dari ahli kumpulan kami, akhirnya kami mengambil tindakan untuk pergi terus ke rumah Tuan Guru. Sebelum itu, kami menelefon Yang Behormat tempat salah seorang dalam kumpulan kami untuk bertanyakan bagaimana hendak ke rumah Tuan Guru tanpa membuat temu janji. Tujuan kami membuat tindakan tersebut adalah untuk menghormati tuan guru dan tidak mahu mengganggu beliau. YB mencadangkan kami agar pergi ke rumah beliau pada waktu subuh dan YB turut memberi sokongan kepada kami malah menyampaikan salam kepada beliau.
Sebaik sahaja kami sampai di kawasan rumah Tuan Guru, kami mengalami kesukaran dalam mencari rumah beliau. Sebelum sampai di rumah Tuan Guru, kami membayangkan Tuan Guru dikawal oleh pengawal peribadinya dan rumahnya dipagari dengan pintu pagar yang tertutup. Kemungkinan besar juga kami akan menunggu beliau di depan pintu pagar. Sebenarnya, tanggapan kami adalah salah, rumah beliau sama seperti rumah kampung biasa dan tiada pagar yang menghalang kami. Malah, pada hari itu terdapat dua buah bas yang datang melawat di kawasan perumahan beliau. Rupanya-rupanya, rumah Tuan Guru dijadikan tempat persinggahan pelawat-pelawat yang datang ke Kelantan. Akhirnya setelah kami bretanyakan pelajar Maahad Anuar yang berhampiran rumah Tuan Guru akhirnya kami telah menemui rumah beliau. Malangnya, kami diberitahu oleh orang gaji beliau bahawa beliau tiada di rumah. Kami menunggu Tuan Guru dengan penuh kesabaran sehinggalah kami berjumpa dengan anaknya iaitu Nik Abduh. Di kesempatan itulah kami sempat menemuramah anak beliau tentang beliau. Kesukaran dalam menemuramah anaknya juga berlaku di mana ada dalam kalangan kumpulan kami dari negeri Kedah dan tidak faham loghat Kelantan, jadi kami mengalami kesukaran dalam menterjemahkan bahasa sambil menemuramah. Sebaik sahaja siap menemuramah anaknya, kami menunggu lama Tuan Guru sehingga jam pukul lima. Hal ini adalah disebabkan kami tidak membuat temu janji dahulu dengan Tuan Guru. Akhirnya, dengan berkat doa kami akhirnya kami dapat berjumpa dengan Tuan Guru. Ketika itu Tuan Guru sedang membaca doa untuk membuat air tawar kepada orang yang meminta bantuan. Dari jauh kami melihat wajahnya yang jernih, terasa sebak dan hampir menitiskan air mata kerna teruja dapat melihat wajah tokoh kami di hadapan mata. Walaupun kami telah melihat Tuan Guru dari jauh, tetapi kami terpaksa menunggu giliran kami untuk memberitahu tujuan kami, hal ini disebabkan terdapat ramai lagi rakyatnya yang ingin bertemu dengannya. Antaranya, ada yang ingin meminta mengubati anaknya yang kena santau, malah terdapat juga rakyatnya yang meminta sedekah, ada yang ingin membeli produk Tuan Guru dan ada yang datang dari Kuala Lumpur semata-mata ingin mengenali lebih dekat lagi Tuan Guru. Sebaik sahaja Tuan Guru turun tangga masjid, seorang demi seorang bangun untuk memberitahu masalah kapada Tuan Guru, namun kami masih lagi kaku berdiri di sebuah tempat rehat. Perjalanan Tuan Guru yang perlahan-lahan membuatkan kami berasa serba salah untuk menyerbunya, kami bimbang keadaan Tuan Guru tidak sihat sepenuhnya. Namun demikian, tanpa kami sedari anaknya iaitu Nik Abduh datang dari belakang kami dan menyuruh kami menyerbu ayahnya dan memberitahu tujuan sebenar. Dengan suruhan anaknya inilah menyebabkan kami tanpa membuang masa terus menuju ke arah beliau untuk memberitahu tujuan kami. Sebaik sahaja kami tiba betul-betul hadapan Tuan Guru, mulut kami terkunci rapat. Kami tidak dapat memberitahu tujuan kami kerana berdebar-debar dan kagum dengan beliau. Walaupun demikian, beliau tersenyum melihat gelagat kami, dengan senyumannya itu membuatkan kami berani menyatakan hasrat sebenar. Akhirnya kami dipelawa naik ke rumah beliau untuk ditemuramah, sesi temuramah kami berjalan dengan lancar dan tiada masalah bagi kami untuk mendapatkan maklumat. Kami juga dilayan dengan baik oleh keluarga Tuan Guru. Perbualan kami dengan beliau tidak ubah sama seperti berbual dengan saudara mara sendiri. Semua perjalanan yang kami lalui semuanya di luar jangkaan kami, kami tidak sangka seorang menteri besar yang penuh dengan kesibukan urusan negeri sanggup menerima wawancara kami hanya berdua sahaja. Malahan pula kami dilayan dengan baik oleh anak perempuannya, dia menghidangkan kami dengan makanan. Seorang anak menteri besar sendiri yang mengangkat makanan kepada kami malah, berbual mesra dengan kami. Terdapat juga cerita dari ahli keluarga salah seorang kumpulan kami, menurutnya dia pernah dihidangi sendiri makanan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri. Begitulah sifat keperibadiannya yang mengejutkan kami.
Bapanya, Allahyarham Tok Guru Haji Nik Mat adalah seorang yang masyhur Islam pada masa itu. Bapa beliau sangat serius terhadap anak-anaknya dan tidak pernah leka dalam pengajaran pendidikan Islam. Oleh itu, ayah beliau merupakan tokoh ikutan kepada beliau. Dengan ini, kepimpinan ayah beliau juga telah mempengaruhi kegayaan dan kepimpinan beliau dalam memerintah dan mentadbir sama ada keluarganya mahupun negeri Kelantan. Oleh itu, beliau juga mendidik anak lelaki dan anak perempuan beliau tentang pendidikan Islam sejak kecil lagi. Menurut Tuan Guru, semua anaknya mengambil pendidikan Islam sebagai pendidikan yang penting dalam kehidupan mereka.
Menurut beliau, ayah beliau merupakan seorang yang tegas dan keras dalam pendidikan anak-anaknya. Ayah beliau menegaskan bahawa anak-anaknya wajib memakai kain pelikat, baju Melayu, memakai songkok atau kopiah putih. Anak-anaknya dilarang keras sama sekali berambut panjang. Amanat ayah beliau ini menjadi pegangan kepada beliau dalam kehidupan beliau. Hasil daripada pengajaran ayah beliau, kesemua anaknya berpegang teguh kepada perintah Tuhan dan tidak melakukan sebarang tingkah laku yang akan membelakangi ajaran Islam.
Tambahan beliau pula, jika ayah beliau mengetahui bahawa anaknya tidak bangun untuk solat subuh, anaknya akan dijirus dengan air dan jika mereka tidak menghafaz pelajaran mereka akan dihukum dengan mengenakan pukulan terhadap mereka. Selepas menunaikan solat fardhu Subuh, beliau bersama-sama adik beradik beliau yang lain diperintahkan supaya mengulangkaji dan menghafaz nahu saraf bahasa Arab. Kemudian pada sebelah petang pula, selepas sembahyang Asar, beliau diwajibkan mempelajari ilmu tajwid dan membaca Al-Quran.
Kemudian selepas sembahyang Maghrib, beliau mengikuti pelajaran Hadith dan tafsir Al-Quran.
Selain itu, bapa beliau juga menggalakkan anaknya menceburi dalam bidang pertanian. Untuk menggalakkan anaknya rajin bertani, ayah beliau akan mengupah anaknya seorang lima puluh sen kepada sesiapa yang berjaya menggali lubang untuk menanam pokok rambutan.
Kemudian selepas sembahyang Maghrib, beliau mengikuti pelajaran Hadith dan tafsir Al-Quran.
Selain itu, bapa beliau juga menggalakkan anaknya menceburi dalam bidang pertanian. Untuk menggalakkan anaknya rajin bertani, ayah beliau akan mengupah anaknya seorang lima puluh sen kepada sesiapa yang berjaya menggali lubang untuk menanam pokok rambutan.
Sebaik sahaja selesai menemurah, beliau meminta izin untuk berehat dan menyuruh kami mengambil maklumat beliau dalam bilik bacaannya jikalau maklumat yang diberikan tidak cukup. Kami tergaman seketika kerana Tuan Guru percayakan kami untuk menyelongkar biliknya tanpa diawasi oleh sesiapapun. Ketika itu keluarganya sudah keluar dari rumah dan kami tidak tahu kemana mereka pergi dan Tuan Guru meminta izin untuk beristirehat. Di dalam rumahnya hanyalah tinggal kami berdua sahaja, sebelum Tuan Guru beredar beliau menyuruh kami membuka lampu bilik dan ambil apa sahaja maklumat yang kami inginkan dan memberitahu kami agar tidak perlu segan untuk masuk ke dalam bilik bacaannya itu kerana tiada seorang pun dalam bilik itu. Malah, beliau sendiri menyuruh kami tutup lampu, kipas, jendela dan pintu apabila hendak keluar rumah. Dengan sikap beliau percayakan kami yang baru dikenali tidak sampai dua jam pun membuatkan kami terkejut, persoalannya tidakkah beliau bimbang jikalau kami melakukan sesuatu yang tidak baik? Apabila selesai sahaja kami mendapatkan maklumat, kami sendiri yang menutup lampu, kipas, jendela dan pintu rumahnya. Begitulah perjalanan untuk temuramah beliau.
Nama sebenar tuan guru ialah Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau dilahirkan pada tahun 1931 di Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan. Bilangan adik-beradik beliau seramai 27 orang (9 meninggal dunia) 18 orang masih hidup, 10 lelaki dan 8 orang perempuan hasil daripada perkahwinan ayahnya dan empat orang isteri. Beliau merupakan anak yang kedua dalam keluarga beliau. Beliau mendirikan rumah tangga bersama dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang yang berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu pada tahun 1962 ketika itu usia beliau berumur 34 tahun. Hasil perkahwinan beliau dikurniakan 10 cahaya mata iaitu lima perempuan dan lima lelaki. Diantara anak-anaknya ialah adalah Nik Aini 46 tahun , Nik Umar 43, Nik Adl 41i, Nik Abdul Rahim 39, Nik Abduh 38, Nik Adilah 37, Nik Muhamad Asr 35, Nik Amani 33, Nik Amalina 31 dan Nik Asma' Salsabila 24 tahun.
Pada tahun 1936, beliau mendapat pelajaran di Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat selama 3 bulan. Seterusnya beliau bersekolah di Sekolah Pondok Tok Kenali yang terletak di Kubang Kerian. Semangat menjuangkan ilmu pengetahuan beliau tidak pernah terputus sehingga beliau meneruskan pelajaran di Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas Besut, Terengganu. Pada tahun 1952 pula, beliau menjejak kaki ke India untuk menambahkan ilmu di Universiti Deobond. Kemudiannya, beliau juga ke Lahore, Pakistan untuk mempelajari Ilmu Tafsir Quran pada tahun 1957. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab dan Sarjana Perundangan Islam di Universiti Al-Azhar yang terletak di Mesir. Sebelum Tok Guru menceburi bidang politik, beliau menceburi dalam bidang perguruan iaitu pernah menjadi guru di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Panchor, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar, Pulau Melaka, Penyelia Kelas Dewasa KEMAS, Guru Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu. Beliau mulai menceburi bidang politik pada tahun 1967 dengan mendaftar sebagai ahli PAS. Secara keseluruhannya, beliau memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen selama 19 tahun yang bermula dari tahun 1967 hingga tahun 1986. Selepas itu, mulai tahun 1986 hingga tahun 1990 beliau memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri selama 4 tahun. Pada tahun 1990 pula, beliau telah dilantik dan berkhidmat sebagai Menteri Besar Kelantan sehingga sekarang.
Tok Guru telah mencurahkan segala ilmu yang dimiliki oleh beliau untuk dicurahkan kepada pelajar-pelajarnya. Contohnya, pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama dua tahun. Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma'hoad Muhamadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.
Kemudian selepas berkhidmat sebagai guru, beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang. Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa. Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil. Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma'had Muhamadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu 'Halakat pengajian' yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma'had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah. Daalm pada masa yang sama beliau merupakan seorang Petah Bercakap Tuan Guru dan lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi. Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi. Keistemewaan Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung. Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Abia'. Beliau juga bergiat aktif dalam menulis beberapa buah buku.
Di samping itu, Tuan Guru juga merupakan seorang yang dermawan, contohnya, beliau memotong gajinya sebanyak 40 peratus untuk Tabung Kewangan PAS Negeri Kelantan dan terdapat banyak lagi contoh-contoh sifat dermawan yang ditunjukkan beliau, namun demikian, kami ingin memberikan contoh semasa kami ke rumahnya. Secara kebetulan, sementara menunggu giliran untuk bersemuka dengan Tuan Guru, ada seorang pelajar pondok meminta bantuan keewangan untuk meneruskan pengajianya. Walaupun Tuan Guru memberi bantuan kepadanya, Tuan Guru sempat menyelitkan nasihat supaya berusaha mencari wang dengan cara yang halal dan elakkan meminta dengan orang. Dengan nasihat itulah kami tergaman dapat melihat sendiri cara dia menasihati rakyatnya dan menghulurkan derma.
Tambahan pula beliau juga merupakan seorang yang suka membantu rakyatnya yang ditimpa kesusahan. Sepanjang kami melihat situasi pelawat dengan Tuan Guru terdapat sesuatu yang menarik perhatian kami. Ada pasangan suami isteri yang meminta Tuan Guru mengubati anaknya yang kena santau, kelihatan pasangan suami kepada isteri itu sedih dan isterinya menangis meminta Tuan Guru mengubati anaknya. Di hadapan mata kami sendiri Tuan Guru menggosok bahu lelaki tersebut. Kemudian tanpa membuang masa Tuan Guru memasuki semula ke dalam masjid untuk membuat air tawar. Kesanggupan Tuan Guru membantu rakyatnya dalam kesusahan membuatkan kami terharu. Sebaik sahaja selesai membuat air tawar, beliau juga menyelitkan nasihat kepada pasangan tersebut supaya meminta banyakkan meminta pertolongan tanpa henti-henti dengan Allah, keranaa doa sendiri lebih makbul dan dia hanya menolong sahaja Allahlah yang berkuasa di atas segala-galanya.
~ Masjid berhampiran rumah Tuan Guru ~
~Rumah Tok Guru~
~Maahad Darul Anuar~
0 comments:
Post a Comment